Portal Raja Kita Negeri Perak Darul Ridzuan Bahasa Melayu | English 


Maklumbalas | Buku Tetamu | Forum | Penghargaan |  

Sorry, your browser doesn't support Java(tm).
DARJAH KEBESARAN NEGERI PERAK YANG AMAT MULIA CURA SI MANJA KINI

Darjah Kebesaran Negeri Perak Yang Amat Mulia Cura Si Manja Kini adalah terkanan daripada Darjah bagi kelas yang sama daripada Darjah Kebesaran Negeri Perak Yang Amat Mulia Mahkota Perak dan walaupun kelayakan bagi Darjah Kebesaran Cura Si Manja Kini sama dengan kelayakan Darjah Kebesaran Mahkota Perak, kurniaan kepada Darjah Kebesaran Paduka Cura Si Manja Kini hendaklah berdasarkan pada kelayakan yang lebih bermutu daripada kelayakan Darjah Kebesaran Mahkota Perak.

Darjah Kebesaran ini dikurniakan kepada sesiapa yang telah memberi perkhidmatan cemerlang kepada Negeri Perak Darul Ridzuan khasnya dan Malaysia amnya. Darjah ini dizahirkan pada tahun 1969 mempunyai tiga peringkat, tetapi pada tahun 1989 satu kelas yang keempat, iaitu Ahli Cura Si Manja Kini, telah ditambahkan pada Darjah ini.

S.P.C.M.

  • Kelas Yang Pertama
    Seri Paduka Cura Si Manja Kini (S.P.C.M.)

  • Kelas Yang Kedua
    Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (D.P.C.M.)

  • Kelas Yang Ketiga
    Paduka Cura Si Manja Kini (P.C.M.)

  • Kelas Yang Keempat
    Ahli Cura Si Manja Kini (A.C.M.)

Penerima-penerima Kelas Yang Pertama menikmati dengan panggilan kehormat "Dato' Seri" dan isterinya "Datin Seri", manakala penerima-penerima Kelas Yang Kedua menikmati dengan panggilan "Dato'" dan isterinya "Datin". Tetapi suami kepada penerima yang terdiri daripada kaum wanita tidak menikmati apa-apa panggilan kehormat khas.

D.P.C.M.

Kalung Darjah Kebesaran Seri Paduka Cura Si Manja Kini ialah sambungan kepingan bergaris pusat 3.62 cm, ikatan Jata Diraja dengan Lambang Negeri di hadapan dan di belakang bertentangan dengannya. Kepingan bintang 9 penjuru berbunga padi bergaris pusat 2.7 cm, diselang-selikan dengan kepingan-kepingan bulatan berukiran "AZlAN SHAH" dalam tulisan Jawi bergaris pusat 2.3 cm. Jumlah kepingan yang terdapat pada Kalung ialah sebanyak 30 kepingan, Kepingan-kepingan ini disambung dengan rantai cincin bulat bersambung. Rekabentuk lencana adalah serupa seperti Bintang Darjah kecuali ukuran garis pusatnya yang berbeza iaitu kepingan bintang bergaris pusat 7 cm, kubah 5.9 cm, enamel hijau tua 3.1 cm dan enanel putih 2.4 cm serta Lambang Negeri 2 cm dan tidak bertatah berlian sama sekali. Lencana ini disambungkan Kalung dengan kepingan berbentuk 2 pedang Cura Si Manja Kini bersilang dan bertatah bulan dan bintang.


Bintang Darjah Kelas Yang Pertama (S.P.C.M.) ialah bintang 9 penjuru berjalur runcing bergaris pusat 8.8 cm. Di tengah jalur runcing terdapat bulan dan bintang penjuru 5, dengan kepingan kubah 9 penjuru dan bergaris pusat 7.1 cm diletakkan di atas bintang di mana kedudukan kubah adalah di antara 2 penjuru bintang. Di atas kepingan kubah ialah bulatan enamel berwarna hijau tua di bingkai luar dan bergaris pusat 3.9 cm dan dibahagian bingkai dalam terdapat enamel putih yang bergaris pusat 3.1 cm. Di bawah bulatan enamel hijau tua bertulis "BERTAWAKAL KEPADA ALLAH" dalam tulisan Jawi. Di atas kepingan putih pula terletak kepingan Lambang Negeri yang mempunyai garis pusat 2.4 cm. Di atas kepingan kubah bertatah 9 biji berlian pada pertengahan setiap penjuru kubah.

P.C.M.

Bintang bagi Kelas Yang Kedua, iaitu Darjah Kebesaran Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (D.P.C.M.) mempunyai rupabentuk yang sama dengan Bintang Kebesaran bagi Kelas Yang Pertama melainkan ianya tidak bertatah berlian sama sekali pada pertengahan setiap penjuru kubah.

A.C.M.

Kuatkuasa dari tahun 2001, Selempang bagi Kelas Yang Pertama berwarna biru tua dan dibahagikan oleh jalur kuning diraja selebar 2.8 cm di tengah-tengah berbanding dengan Selempang bagi Kelas Yang Kedua yang pula berwarna biru tua dengan tepinya berjalur kuning diraja selebar 0.8 cm. Selempang bagi Kelas Pertama dan kedua mempunyai kelebaran 9 cm dan panjangnya lebih kurang 243.8 cm. Bagaimanapun, hanya Selempang bagi Kelas Yang Kedua terdapat sebelah lencana berukuran garis pusat 7 cm digantungkan pada pertengahan bow dekat penghujungan Selempang itu.

Lencana Darjah Kebesaran Paduka Cura Si Manja Kini (P.C.M.) ialah sama dengan lencana Darjah yang digantung pada Kalung Darjah ini seperti yang telah diterangkan di atas. Lencana ini disambung kepada reben dengan kepingan berbentuk 2 pedang Cura Si Manja Kini bersilang dan bertatah bulan bintang. Warna reben ialah biru tua dan bertepi kuning diraja.

Pingat Darjah (A.C.M.) mempunyai 9 penjuru berjalur runcing, bergaris pusat 4.5 cm dan tebalnya 2 mm. Di tengah jalur runcing terdapat bulan bintang penjuru 5. Kepingan atas mempunyai 9 penjuru berbentuk kubah berjalur 1, bergaris pusat 2.9 cm dan tebal 0.5 mm. Bulatan enamel benwarna hijau tua, bergaris pusat 2.2 cm, dan dibawahnya bertulis Jawi "TAWAKAL KEPADA ALLAH". Bingkai dalam enamel berwarna putih, bergaris pusat 1.6 cm dan setebal 1 mm. Lambang Negeri terletak di atasnya. Lebar reben ialah 3.2 cm dan panjanynya lebih kurang 5.1 cm. Warna reben ialah biru tua dan bertepi kuning diraja.


Darjah dan pingat YAM Cura Si Manja Kini sebelum tahun 2001.

© 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak. Semua hakcipta terpelihara.