Portal Raja Kita Negeri Perak Darul Ridzuan Bahasa Melayu | English 


Maklumbalas | Buku Tetamu | Forum | Penghargaan |  

Sorry, your browser doesn't support Java(tm).
DARJAH KEBESARAN TAMING SARI NEGERI PERAK YANG AMAT PERKASA

Darjah Kebesaran ini diwujudkan pada tahun 1977 dalam enam kelas atau tingkatan pangkat dan bertujuan untuk dikhaskan kepada anggota-anggota pasukan bersenjata dan polis yang berkhidmat mempertahankan keselamatan Negera. Ghalibnya, Darjah Kebesaran ini hanya dikurniakan kepada anggota-anggota pastikan bersenjata dan polis sahaja. Pada tahun 1989, kelas-kelas yang ketiga, keempat, kelima dan keenam telah tiada dikurniakan lagi kepada sesiapapun.

  • Kelas Yang Pertama
    Seri Panglima Taming Sari (S.P.T.S.)

  • Kelas Yang Kedua
    Dato' Penglima Taming Sari (D.P.T.S.)

  • Kelas Yang Ketiga
    Perwira Taming Sari (P.T.S)

  • Kelas Yang Keempat
    Hulubalang Taming Sari (H.T.S.)

  • Kelas Yang Kelima
    Kesatria Taming Sari (K.T.S.)

  • Kelas Yang Keenam
    Perajurit (atau Ahli) Taming Sari (A.T.S.)
S.P.T.S

Penerima-penerima Kelas Yang Pertama menikmati dengan panggilan kehormat "Dato' Seri (Panglima)" dan isterinya "Datin Seri", manakala penerima-penerima Kelas Yang Kedua menikmati dengan panggilan "Dato' Pahlawan" dan isterinya "Datin". Tetapi suami kepada penerima yang terdiri daripada kaum wanita tidak menikmati apa-apa panggilan kehormat khas. Sekarang, panggilan kehormatan "Panglima" dan "Pahlawan" tidak lagi dipakai bersama gelaran "Dato' Seri" dan "Dato'" itu.

D.P.T.S

Kalung Darjah Kebesaran ini ialah sambungan kepingan bergaris pusat 3.5 cm, ikatan keris bersilang dikelilingi dengan bunga padi di bahagian hadapan dan di belakang bertentangan dengannya. Kepingan bintang 9 penjuru dikelililngi dengan bunga padi bergaris pusat 2.4 cm diselang-selikan dengan kepingan bulatan berukiran perkataan "AZLAN SHAH" dalam tulisan Jawi bergaris pusat 2.3 cm. Jumlah kepingan ialah 30. Kepingan-kepingan ini disambung dengan rantai cincin bulat bersambung. Rekabentuk lencana serupa seperti Bintang Darjah yang dinyatakan di bawah ini kecuali ukurannya di mana bintang mempunyai garis pusat 7 cm, bulatan enamel merah tua 3.1 cm dan enamel putih bergaris pusat 2.4 cm serta Lambang Negeri 2 cm dan tidak bertatah berlian. Ianya disambung kepada kolar dengan kepingan berbentuk 2 pedang Cura Si Manja Kini bersilang dan bertatah bulan bintang.

Bintang Darjah Kelas Yang Pertama (S.P.T.S.) ini ialah bintang 9 penjuru berjalur runcing dengan 9 bahagian berjalur runcing kecil bertingkat dan mempunyai garis pusat 8.8 cm. Di atas kepingan bintang ialah bulatan enamel berwarna merah tua bergaris pusat 3.9 cm dengan tulisan Jawi "TAAT KEPADA ALLAH DAN NEGARA" di bahagian bawah bulatan enamel. Di bahagian bingkai dalam terdapat Lambang Negeri bergaris pusat 2.4cm. Di atas kepingan bintang bertatah 9 biji berlian pada pertengahan setiap penjuru bintang. Pada penjuru bintang di sebelah atas terdapat ukiran Jata Diraja.

Bintang Darjah Kelas Yang Kedua (D.P.T.S.) mempunyai rupabentuk yang sama dengan Bintang Darjah Kelas Yang Pertama melainkan ianya tidak bertatah berlian sama sekali pada pertengahan setiap penjuru.

Kuatkuasa dari tahun 2001, Selempang bagi Kelas Yang Pertama ini berwarna merah darah dan berjalur kuning diraja selebar 2.8 cm. Selempang bagi Kelas Yang Kedua juga berwarna merah darah dan berjalur kuning di tepinya selebar 0.8 cm. Kedua-dua Selempang mempunyai kelebaran 9 cm dan panjang 243.8 cm. Bagaimanapun, hanya Selempang hagi Kelas Yang Kedua terdapat sebuah lencana berukuran garis pusat 7 cm digantungkan pada pertengahan bow dekat penghujungan Selempang itu.


© 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak. Semua hakcipta terpelihara.