Portal Raja Kita Negeri Perak Darul Ridzuan Bahasa Malaysia | English 


Maklumbalas | Buku Tetamu | Forum | Penghargaan |  

Sorry, your browser doesn't support Java(tm).
ISTANA ISKANDARIAH

Inilah Istana rasmi tempat bersemayam Raja-Raja Pemerintah yang ditabalkan sebagai Sultan Perak (Darul Ridzuan) semenjak pembinaannya siap disempurnakan dalam tahun 1933. Nama 'lstana Iskandariah' ini adalah mengambil sempena nama Sultan Iskandar Shah (1918-1938), Sultan yang ke-30, yang bertanggungjawab terhadap pembinaannya.

Kedudukan tapak Istana Iskandariah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar dan di tebing kiri mudik Sungai Perak iaiah di atas tapak lama Istana Negara yang telah dibina pada tahun 1895 oleh Sultan Idris Mushidul'adzam Shah I (1887-1916), Sultan yang ke-28.

Selepas Sultan Iskandar Shah mangkat pada tahun 1938, Sultan Abdul Aziz Almustasim Billah Shah (1938-1948), Sultan Perak yang ke-31, yang menggantikannya telah bersemayam pula di Istana Iskandariah. Pada tahun 1948, Sultan Yussuf Izzuddin Shah (1948-1963), Sultan yang ke-32, telah berangkat pindah dari Istana Kota (juga dikenali sebagai 'Istana Hijau') untuk bersemayam di Istana Iskandariah dan pada tahun 1963, Sultan Idris Iskandar Shah II (1963- 1984), Sultan yang ke-33, menaiki takhta kerajaan dan bersemayam di istana ini sehingga kemangkatannya pada tahun 1984.

Senibina istana menyerupai senibina Islam India Saracenic yang diadun dengan corak senibina Asia Barat khususnya pointed arch dan hiasan minaret dan kubah yang berbentuk bawang (atau onion-shaped domes).

Istana Iskandariah terletak di atas keluasan tapak berukuran 10,435 m persegi. Bangunan ibunya berbentuk bujur segi empat (bujur sangkar). Muka hadapannya menghadapi arah matahari naik dan pemandangannya luas ke arah Sungai Perak. Dari pandangan hadapan istana ini jelas kelihatan kubahnya yang berbentuk bawang dan well-proportioned Roman Doric columns. Selain daripada kubah induk ada terdapat empat buah lagi kubah apit yang lebih kecil di setiap penjurunya. Di anjung dan langkan terbuka terdapat juga kubah-kubah kecil.

lstana lskandariah ialah bangunan tiga tingkat. Di tingkat bawah terdapat dua Dewan Menghadap dan Ruang Tamu, Dewan Santapan Diraja, Bilik Mesyuarat Dewan Negara (Perak), Kamar Beristirahat Keluarga Diraja, Pejabat Juruiring, Kamar Persenangan (Wanita), Dewan Muzik dan Dewan Santapan Tetamu Diraja. Pada masa dahulu Dewan Muzik itu adalah terdedah kepada pancaran matahari dan dijadikan taman untuk keluarga diraja.

Di tingkat pertama terdapat Kamar Tamu Diraja, Kamar/Puri Peraduan Kebawah Duli, dua Puri Peraduan Tetamu Diraja dan tiga Puri Peraduan Puteri-puteri Baginda. Manakala di tingkat tiga terdapat dua Puri Peraduan Putera-putera Diraja dan satu Puri Peraduan Tetamu Diraja.


Balairong Seri

Untuk menaiki ke tingkat satu ada disediakan jalan dan tangga selain daripada lif yang terletak di anjung beranda utara. Tangga tengah boleh menuju terus ke tingkat dua. Tingkat dua bangunan istana ini boleh dianggap sebagai tingkat yang terpenting kerana di sinilah terletaknya ruang-ruang untuk Balai Nobat, Balairong Seri lama yang sekarang dikenali sebagai Balai Seri atau Balai lstiadat (di mana majlis beradat yanq tertentu dilangsungkan di dalamnya). Tiga Raja Pemerintah, iaitu Sultan Ahdul Aziz Shah, Sultan Yussuf lzzuddin Shah dan Sultan Idris lskandar Shah II, pernah ditabalkan di Balai Seri tersebut, Istiadat Penganugerahan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang pula pernah diadakan di sini sebelum tambahan istana yang mengandungi Balairong Seri baru siap dibina pada tahun 1984.

Minaret yang didapati di atas tingkat dua ini terletak di bawah kubah induk. Di sinilah terdapat ruang yang dianggap sebagai tingkat ketiga. Ruang yang berukuran 9.8 m x 9.8 m ini merupakan tempat beristirahat khas bagi keluarga diraja sahaja. Di ruang ini ada terdapat pula tangga berpusing menghala ke bumbung kubah.

Pada tahun 1984, Istana Iskandariah telah diperbesarkan di bahagian belakang dengan tambahan 11,468 m persegi juga berbentuk tiga tingkat dan disambung dengan istana asalnya dengan satu titian bertutup di tingkat pertama.


Balai Istiadat

Bangunan tambahan istana ini mempunyai bentuk senireka yang sama dengan senireka istana asal untuk memberi pandangan yang ianya seperti siap dibina dalam satu masa.

Istana tamhahan yang berukuran 99 m panjang dan 38.7 m lebar adalah berbentuk bujur empat segi dan mengandungi satu kubah besar di tengah dan empat kubah kecil di penjuru-penjurunya. Di tingkat atas terletak Balairong Seri baru manakala Dewan Santapan baru ditempatkan di tingkat tengah dan tingkat bawah (basement) pula digunakan untuk tempat letak kereta-kereta diraja.

Hiasan di kembung pintu dalam Balairong Seri dan Dewan Santapan Diraja berasaskan sekuntum 'Bunga Kelumpang'. Dari bunga ini keluarlah salur-salur subur berbunga dan berbuah lebat seolah-olah merupai tangan terbuka dan melambai-lambai mesra gemalai mempersilakan tetamu dan rakyat masuk menghadap. Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Sultan Perak yang ke-34, merupakan Sultan yang pertama menyempurnakan Istiadat Pertabalan baginda di Balairong Seri (yang baru) ini.

Hiasan tiang direka corak memberi pengertian seorang pemerintah yang menjaga kepentingan amanah dan memohon petunjuk daripada Tuhan dalam urusan agama bagi dirinya dan rakyat dalam Negeri Jajahan takluknya. Sementara reka corak 'Alang Penaga' memberi pengertian umum suasana meriah dan gembira di Majlis Diraja dan seseorang Raja dikelilingi oleh pembesar dan rakyat jelata dalam keadaan aman dan tenteram.



© 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak. Semua hakcipta terpelihara.