Portal Raja Kita Negeri Perak Darul Ridzuan Bahasa Melayu | English 


Maklumbalas | Buku Tetamu | Forum | Penghargaan |  

Sorry, your browser doesn't support Java(tm).
32. SULTAN YUSSUF IZZUDDIN SHAH
(MARHUM GHAFARULLAH)
(1948 - 1963)

Pengganti Sultan Abdul Aziz Almustasim Billah Shah ialah Raja Muda Yussuf ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah. Baginda menaiki takhta kerajaan Negeri Perak pada 31 Mac 1948, dan bergelar Sultan Yussuf Izzuddin Shah, dan bersemayam di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Istiadat pertabalan baginda telah disempurnakan pada 16 April 1949, dan kelambatannya disebabkan baginda seperti Raja-Raja Pemerintah Negeri yang lain sedang sibuk dengan kerja-kerja penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.

Baginda telah diputerakan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada 15 Januari 1890, dan mendapat pendidikannya mulai dari Sekolah Melayu, kemudian dari Sekolah Inggeris Hogan (sekarang dikenali sebagai Sekolah Clifford) dan akhirnya dari Maktab Babul'd-Darjat atau Kolej Melayu di Kuala Kangsar.


Setelah tamat pendidikannya pada tahun 1911, baginda masuk berkhidmat sebagai Pelatih Pegawai Melayu di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Taiping. Kemudiannya, bertukar menjadi Pemungut Cukai Tanah dan Hakim di Kuala Kangsar. Baginda juga pernah menjadi Pengawas Daerah Kecil Parit dan Beruas, dan sebagai seorang pegawai di Pejabat Perbendaharaan Negeri. Pada masa berkhidmat dalam jawatan-jawatan tersebut, baginda telah beroleh pengetahuan dan kemahiran dalam hal pentadbiran negeri.

Pada tahun 1919, baginda dilantik menjadi Raja Di Hilir Perak dan bersemayam di Ipoh. Pada tahun 1921, baginda dilantik menjadi Raja Bendahara dan bersemayam di Istana Bendahara yang terletak di Jalan Bendahara, Ipoh. Tiga tahun selepas menjadi Raja Di HIlir, baginda masuk berkhidmat dalam Pasukan Malayan Volunteer Infantry, cawangan Negeri Perak, sehingga berpangkat Leftenan pada tahun 1953. Selepas itu, baginda keluar daripada pasukan ini dan menyertai Federated Malay States Volunteer Forces (cawangan Negeri Perak) sebagai Pegawai Simpanan.

Pada tahun 1934, baginda berangkat ke England bersama-sama dengan Tengku Laksamana Alam Shah Selangor mengiringkan Sultan Alauddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor, dan baginda bersempat menghadap Raja Inggeris, King George Kelima.

Apabila Sultan Abdul Aziz ditabalkan menjadi Sultan Perak yang ke-31 pada tahun 1958, Baginda pula dilantik menjadi Raja Muda dan bersemayam di Telok Intan (dahulunya dikenali Telok Anson). Selaku Raja Muda, baginda dijadikan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Perak dan juga menjadi Naib Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Orang Besar-Besar Dan Ulama-Ulama Negeri Perak.

Dalam tahun 1938, baginda telah dikurniakan Darjah Kebesaran 'Officer of the British Empire' atau singkatannya O.B.E., dan tahun 1949 dikurniakan Darjah Kebesaran 'Knight Commander of the Order of Saint Michael and Saint George, K.C.M.G.. oleh Raja Inggeris, King George Kelima. Di samping itu, baginda juga menerima kurniaan Bintang Kebesaran daripada Raja Siam.

Baginda berangkat ke England pada tahun 1953 kerana menghadiri istiadat kemahkotaan Ratu Inggeris, Baginda Queen Elizabeth Kedua. Tiga tahun lepas itu, iaitu pada tahun 1956, baginda berangkat sekali lagi melawat ke England dan benua Eropah. Pada masa baginda berangkat beralih angin, Raja Muda Raja Idris Shah ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah telah dilantik menjadi Pengerusi Majlis Pengkuan Sultan.

Mulai tahun 1953, gelaran Raja Bendahara telah pun dimansuhkan menurut peruntukan dalam Undang-undang Tubuh Negeri, dan gelaran Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja dihidupkan kembali untuk dikurniakan kepada orang kebanyakan. Penyandang Raja Bendahara yang terakhir ialah Raja Abdul Rashid ibni Almarhum Sultan Idris Shah I. Sebaliknya, penyandang Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja yang pertama selepas wujudnya Perlembagaan Negeri ialah Che Mohamad Yusof bin Sheikh Abdul Rahman.

Beberapa bulan setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan daripada Kerajaan Inggeris pada 10 Ogos 1959, baginda pun jatuh gering sehingga pada 4 Januari 1963, baginda mangkat di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, dalam usia lebih kurang 75 tahun. Jenazah baginda dimakamkan di Permakaman Diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar, dan digelar 'Marhum Ghafarullah'.



Makam Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah

© 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak. Semua hakcipta terpelihara.